Thursday 1 August 2019

Panduan Menanam Terung


Panduan Menanam Terung

PENANAMAN

PENYEDIAAN TANAH
Di Ladang
Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm. Sediakan batas berukuran 1.2m lebar dan 22-30 cm tinngi. Panjang batas mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 45cm. Gaulkan tahi ayam reput ke dalam tanah sebanyak 50kg  bagi 50 meter persegi (500 kaki persegi).

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Gunakan tanah campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir. Isikan tanah campuran tersebut ke dalam pasu sehingga 5cm dari permukaan pasu.

PENYEDIAAN ANAK BENIH
Bagi tanaman di lading, sediakan kotak semaian berukuran 45cm panjang, 22cm lebar dan 10cm tinggi. Isikan kotak semaian dengan tanah campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir. Semai 3gm bijij benih ke dalam kotak semaian secara barisan dan tutup benih dengan lapisan nipis tanah. Jarak antara baris biji benih ialah 5cm dan 2cm antara biji benih. Siram dengan penyiram yang mempunyai semburan halus dua kali sehari. Kotak semaian mesti dilindungi cahaya matahari dan air hujan yang berlebihan. Ubah anak benih ke ladang 3 sehingga 4 minggu selepas disemai. Sebelum diubah ke ladang, anak benih didedahkan terlebih dahulu kepada cahaya matahari yang penuh selama 3 hingga 4 hari untuk mengeraskannya.

MENANAM
Di Ladang
Anak benih yang berumur 3 sehingga 4 minggu boleh diubah terus ke batas. Sebelum mencabut, basahkan kotak semaian supaya anak benih senang digali. Kemudian, gali anak benih dengan segumpal tanah dan tanam terus ke batas. Jarak tanaman ialah 90cm antara pokok dan 60cm antara baris.

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
3 atau 4 biji benih ditanam terus ke dalam pasu sedalam 2-5cm. tinggalkan sepokok sepasu 2 minggu selepas menanam.


PENJAGAAN
MENYIRAM
Penyiraman tanaman dilakukan pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali hari hujan.

MEMBAJA
Di Ladang
Tabor baja NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok dengan kadar 1 sudu besar atau 10gm sepokok setiap 2 minggu

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Tabur 1 sudu the atau 5gm baja NPK Blue Special (12:12:17:2) sepasu di keliling pokok setiap minggu.

SUNGKUPAN
Di Ladang
Gunakan rumput-rumput kering atau pelepah kelapa sebagai sungkupan.

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Gunakan rumput-rumput kering.

MERUMPUT
Bersihkan batas-batas daripada rumpai dengan menggunakan tangan, cangkul atau tajak. Cabut rumpai yang tumbuh di dalam pasu.

MENYEDIA SOKONGAN
Di Ladang
Satu kayu sokongan sepanjang lebih kurang 11/2  meter (5 kaki) hendaklah dipacak berdekatan dengan tiap-tiap pokok. Dahan-dahan pokok pula diikat dengan tali raffia supaya buah terung tidak terkena permukaan tanah.

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Cara sokongan yang diamalkan adalah sama dengan sokongan yang dibuat di ladang tetapi kayu yang digunakan berukuran 1.2 meter (4 kaki) panjang.

KAWALAN SERANGGA DAN PENYAKIT
Sembur racun serangga carbaryl untuk mengawal ulat lipat daun, kumbang daun dan pengorek buah.
Gunakan racun kulat maneb untuk mengawal penyakit reput buah dan racun kulat benomyl untuk mengawal bintik daun.

Memungut Hasil
Di Ladang
Mulalah memetik buah 6 minggu selepas mengubah. Pungutan hasil dibuat setiap 4 hari. Anggaran hasil ialah sebanyak 75 hingga 125kh bagi 50 meter persegi. Dengan harga purata 60 sen sekilo, pendapatan kasar adalah RM45.00 hingga RM75.00

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Mulalah memetik buah 10 minggu selepas menanam. Anggaran hasil ialah 1kg sepokok.






No comments:

Post a Comment